PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), semalam sekali gus muncul warga Malaysia pertama menyandangnya.
Kejayaannya yang turut membuktikan pengiktirafan besar dunia kepada anak jati Malaysia dicapai pada Kongres UCI Ke-194 di Kigali, Rwanda itu yang bersempena Kejohanan Dunia Berbasikal Lebuh Raya UCI 2025.
Amarjit sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI sejak 2017 selain masih bergelar Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).
Ayahnya, Tan Sri Darshan Singh Gill yang juga mantan Presiden PKBM, pernah menganggotai jawatankuasa sama dari 1996 hingga 2005.
Selain Amarjit, turut dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa dari Itali, Katerina Nash dari Republik Czech dan José Manuel Pelaez dari Cuba.
Presiden UCI, David Lappartient dari Perancis pula mengekalkan jawatan bagi penggal ketiga berturut-turut selepas menang tanpa bertanding.
Kongres yang dihadiri oleh 132 perwakilan Persekutuan Kebangsaan (NF) ini turut disaksikan oleh Presiden Rwanda, Paul Kagame.
Rwanda juga menjadi negara Afrika pertama sebagai tuan rumah kejohanan itu – satu detik bersejarah bagi benua itu dan UCI yang kini berusia 125 tahun.
Ulas Amarjit dalam satu siaran media, “saya percaya pemilihan ini akan menjadi batu loncatan kepada perkembangan berbasikal Asia di pentas global.
“Ini satu penghormatan yang mendalam apabila dipilih sebagai Naib Presiden pertama UCI dari Malaysia malah pengiktirafan perwakilan terhadap peranan Asia yang semakin penting dalam membentuk masa depan sukan berbasikal dunia.
“Ini juga bukti kepercayaan rakan-rakan dalam komuniti berbasikal global dan saya dedikasikan kejayaan ini demi keluarga berbasikal dunia dengan penuh integriti, keterangkuman dan visi.
“Saya berkomitmen tinggi untuk bekerjasama dengan Lappartient dan rakan-rakan sejawatan bagi memastikan sukan berbasikal terus menginspirasi, menyatukan dan berkembang di setiap benua,” ujarnya.
Lappartient yang turut mengalu-alukan pemilihan Amarjit, berkata, “beliau membawa pengalaman luas sebagai Presiden ACC dan visi progresif untuk pembangunan berbasikal dunia.
“Kehadirannya dalam kepemimpinan UCI mencerminkan suara Asia yang semakin berpengaruh di arena global0 dan saya yakin dia akan memainkan peranan penting dalam memastikan sukan berbasikal terus berkembang dengan kuat,” tambahnya.
Kongres UCI kali ini juga memilih Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI baharu yang akan menganggotai badan eksekutif selama empat tahun akan datang sehingga 2029.
Mereka yang terpilih ialah Khireddine Barbari dari Algeria yang mewakili Afrika, Pierre Laflamme dari Kanada mewakili benua Amerika dan Anne Gripper dari Australia mewakili Oceania.
Dari Eropah, sebanyak tujuh wakil telah dipilih iaitu Michel Callot (Perancis), Rocco Cattaneo (Switzerland), Henrik Jess Jensen (Denmark), Agata Lang-Lelangue (Poland), Emin Muftuoglu (Turkiye), Katerina Nash (Republik Czech) dan Tom Van Damme (Belgium).


