
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan cadangan 10 perkara Iran sebagai asas bagi rundingan lanjut untuk menamatkan perang yang sedang berlangsung terhadap Iran, tetapi apakah perkara-perkara yang dikemukakan Tehran?
Butiran cadangan 10 perkara Iran adalah seperti berikut:
1- Amerika Syarikat perlu berkomitmen, pada prinsipnya, untuk menjamin tidak melakukan pencerobohan.
2- Kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz.
3- Hak Iran untuk memperkaya uranium perlu diterima.
4- Penarikan semua sekatan utama.
5- Penarikan semua sekatan sekunder (sekatan yang dikenakan oleh sesebuah negara (contohnya Amerika Syarikat) ke atas pihak ketiga — bukan hanya negara sasaran.
6- Penamatan semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
7- Penamatan semua resolusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
8- Pembayaran pampasan bagi kerosakan yang dikenakan ke atas Iran.
9- Pengunduran pasukan tempur Amerika Syarikat dari rantau ini.
10- Penghentian perang di semua medan, termasuk terhadap penentangan Islam di Lubnan.
Media Iran melaporkan dengan menerima syarat-syarat ini sebagai asas rundingan, Trump telah berundur daripada ancaman terdesak dan gertakan beliau.
Bagaimanapun persoalannya adakah AS benar-benar akan menerima kesemua 10 syarat ini atau ia sekadar AS untuk memulihkan kembali kekuatan tentera negara itu? Dan adakah persetujuan AS disebabkan tekanan sekutu-sekutunya di Asia Barat selepas Iran sehingga ke saat-saat akhir tidak tunduk kepada ancaman Trump?
Adakah mereka bimbang Iran akan bertindak balas dengan lebih keras berikutan tindakan AS-Israel menyerang Pulau Khang – pusat eksport minyak, pelabuhan utama, stor minyak dan aset strategik Iran?
Jika Pulau Khang ‘lumpuh’ kesannya bukan sahaja dirasai oleh Iran malah bekalan minyak seluruh dunia akan terganggu.
Sama ada 10 perkara itu akan diterima oleh AS atau tidak, segala-galanya akan ditentukan di meja rundingan, namun berbanding AS, Iran jauh bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk bertindak balas dengan serangan yang lebih hebat.
Namun demi keamanan dunia, demi kestabilan ekonomi sejagat, sudah pasti semua negara mahu perang yang berlaku akibat kebiadaban AS-Israel menceroboh kedaulatan Iran dihentikan.
Selain itu, sama ada ‘gencatan senjata’ selama dua minggu berjaya atau tidak, yang pasti Iran telah membuktikan kekuatan ketenteraan ketika Trump terus berkhayal manakala Israel ‘menangis dalam senyap’ apabila negara rejim Zionis itu mengalami kemusnahan agak teruk akibat serangan Iran.
Iran juga memberi mesej yang jelas kepada Trump dan pengganas antarabangsa Benjamin Netanyahu bahawa negara republik Islam itu tidak mudah diperdaya atau ditundukkan oleh AS-Israel.
Pastinya dalam rundingan nanti Iran akan berhati-hati terhadap apa juga perjanjian atau syarat yang ditetapkan oleh AS kerana AS datang ke meja rundingan bukan sahaja membawa hasrat mereka tetapi juga MANDAT NETANYAHU.
Iran tidak akan biarkan negara itu mengalami nasib seperti Gaza yang kini terus dimusnahkan oleh rejim Zionis walaupun ada gencatan senjata. Keadaan itu adalah akibat pemimpin-pemimpin dunia khususnya pemimpin Islam terperdaya dengan pelan damai dan perjanjian dirangka oleh Trump yang hakikatnya adalah MANDAT NETANYAHU.


