
SEMALAM penulis menerima satu mesej daripada seorang ahli keluarga berkaitan satu catatan pendek yang mendakwa Pas akan keluar meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan kemungkinan satu jajaran baharu sedang diatur melibatkan Pas dan UMNO.
Catatan itu juga mendakwa UMNO akan tarik diri daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akan memilih Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menjadi calon Perdana Menteri.
Sebenarnya penulis sudah mendengar desas-desus mengenai usaha mewujudkan kerjasama antara UMNO dan Pas sejak sebulan lalu. Sememangnya ia tidak mustahil akan berlaku memandangkan kedua-dua parti pernah berada bersama dalam Muafakat Nasional.
Bagaimanapun apabila mesej itu turut mengaitkan kemungkinan Ahmad Zahid akan menjadi calon PM, penulis ‘tarik break’ sebab selain semua orang tahu sejauh mana kemampuan Presiden UMNO tersebut, apa yang lebih penting ialah UMNO sama sekali tidak akan meninggalkan kerjasama dengan PH termasuk dalam menghadapi PRU-16.
Setakat ini UMNO melihat tidak ada alasan untuk mereka meninggalkan kerjasama itu sekaligus menutup terus peluang untuk berada dalam kerajaan. UMNO tahu dengan perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) dan sokongan rakyat yang semakin merosot, gabungan itu perlu bergantung kepada PH.
Lagipun selama ini PH yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi layanan yang baik kepada UMNO, malah DAP dan Amanah juga semakin selesa dengan parti itu. Jadi penulis anggap andaian bahawa UMNO akan tinggalkan PH hanyalah satu andaian tidak lebih daripada itu.
Apa yang lebih menarik perhatian penulis terhadap catatan itu ialah alasan kenapa Pas mahu meninggalkan PN. Alasannya ialah Pas akan keluar PN, jika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mahu pimpin PN dan masih mahu menjadi Perdana Menteri.
Alasan dan hujah ini sebenarnya bukanlah rahsia sebaliknya sudah menjadi topik bualan dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas. Majoriti mereka memang merasakan dan berpendapat bahawa Muhyiddin perlu berundur memimpin PN. Kalau Bersatu mahukan kekalkan beliau sebagai Presiden, itu hak Bersatu tetapi dalam soal memimpin PN, Pas merasakan Muhyiddin ‘sudah semakin hilang taringnya’.
Mereka mengaitkan perpecahan dalam Bersatu ketika ini menunjukkan kelemahan Muhyiddin mengendalikan keadaan parti itu sepertimana didakwa oleh beberapa pemimpin Bersatu sebelum tetapi sekali lagi itu soal Bersatu, lagipun difahamkan Muhyiddin akan terus menjadi Presiden Bersatu. Namun untuk perhitungan dan survival politik PN, kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi perlu dikaji atau dilihat semula, kata mereka.
Penulis tidak mempunyai apa-apa sentimen apabila memaparkan keadaan ini tetapi hanya memaparkan realiti politik yang sedang berlaku melibatkan hubungan kedua-dua parti tersebut. Oleh itu jangka hayat PN kini bergantung sejauhmanakah Pas akan bertindak, adakah mereka akan mengambil alih kepimpinan PN? Adakah mereka akan kembali bekerjasama dengan UMNO? Atau terus mendiamkan diri hanya sekadar ‘protes secara senyap’?
Hakikatnya semua orang tahu Pas sudah tidak lagi selesa di dalam PN, pelbagai tindak tanduk pemimpin Bersatu termasuk membuat pelantikan bagi jawatan dalam PN tanpa berunding dengan Pas menimbulkan perasaan tidak puashati kepada Pas.
Tetapi Pas parti beradab. Pas tidak membuka pekung yang akan melemahkan PN. Bagaimanapun dari semasa ke semasa keadaan dalam PN semakin tidak stabil. Kemelut dalam Bersatu menyebabkan PN terpalit sama apabila orang berhujah ‘bagaimana mahu menguruskan negara, kalau dalam parti sendiri berantakan’.
Lagipun di sesetengah negeri Pas bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional. Jadi apa yang berlaku kepada Bersatu akan turut memberi tempias. Oleh itu Pas mungkin akan melakukan sesuatu jika Bersatu masih juga ‘berperang tidak habis-habis’.
Penulis tidak menolak kemungkinan Pas akan melakukan langkah drastik dalam perhitungan politik mereka khususnya dalam menghadapi PRU-16 dan PRN Melaka serta Johor. Apa langkah itu? Sama-samalah kita tengok nanti.
Tetapi berdasarkan ‘cerita-cerita’ penulis dengar Pas semakin tidak selesa dengan perjalanan PN sekarang. Malah apabila Pas memutuskan ADUN Karambunai , Dr. Aliakhbar Gulasan akan menyokong Kerajaan Perpaduan Sabah di bawah kepimpinan Hajiji Md Noor, ia dilihat tamparan kepada Muhyiddin memandangkan sehari sebelum Pas menyatakan pendirian itu, Muhyiddin memberitahu wartawan bahawa Dr.Aliakhbar akan menjadi pembangkang.
Ketika diminta mengulas pendirian Pas itu yang dilihat bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ‘’Tiada isu kerana kerusi DUN Karambunai dimenangi Pas.’’
Lagipun kata beliau, keputusan menyokong kepimpinan Hajiji dibuat melalui perbincangan, perundingan dan maklum balas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pada mesyuarat PN sebelum ini.
Kenyataan Tuan Ibrahim dan ketegasan Pas itu mendapat reaksi amat positif daripada pemimpin dan penyokong parti itu. Ia sekaligus membolehkan orang ramai menilai bagaimanakah keadaan hubungan dalam PM ketika ini. Penulis percaya keadaan akan menjadi ‘lebih tegang’ tidak lama lagi.
Ia memandangkan Pas selama-lamanya tidak mungkin akan menjadi ‘pengikut’ kepada apa yang diputuskan oleh Bersatu berkaitan PN tanpa berunding dengan Pas.
Kesimpulannya, Bersatu dan Muhyiddin tidak harus memandangkan ringan desas-desus berkaitan hubungan dengan Pas kerana dalam politik acap kali spekulasi menjadi kenyataan dan dalam politik juga segala-galanya berkemungkinan.


