POLIS melakukan sebuah ke atas sebuah rumah teres tiga tingkat di Kajang yang dijadikan stor serta tempat pembungkusan dadah sejak tiga bulan lalu dan menahan tiga individu bersama dadah bernilai RM10.4 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata dua wanita tempatan yang menerima upah RM5,000 dan seorang lelaki asing merupakan pembungkus dadah ditahan dalam serbuan 8 Disember lalu.
Beliau berkata, kira-kira 81 kilogram (kg) dadah dirampas merangkumi serbuk dan pil ecstasy, ketamin, syabu, pil eramin 5 dan pil yaba.
“Polis turut merampas 1,600 batang rokok disyaki mengandungi bunga ganja dengan anggaran berat 2kg, selain 400 kotak minuman dan botol disyaki berisi cecair ecstasy berisipadu kira-kira 195.50 liter.
“Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya di ibupejabat Polis Selangor di Shah Alam, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek lelaki dikatakan baru mula bekerja selepas memasuki Malaysia 25 Nov lalu.
Katanya, polis giat mengesan dalang dan rangkaian lain bagi mengetahui lebih lanjut modus operandi dan harga pasaran minuman dadah itu.
Shazeli berkata semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala sebuah Honda City dan enam barang kemas bernilai RM52,600 dirampas bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


