SINDIKET menyamar sebagai peguam palsu dikesan memperdaya mangsa melalui media sosial, dengan jumlah kerugian direkodkan mencecah lebih RM1.233 juta melibatkan sekurang-kurangnya dua kes setakat ini.
Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes pertama membabitkan seorang wanita bujang yang pada asalnya menjadi mangsa penipuan bungkusan pada Mei tahun lalu dengan kerugian kira-kira RM1,500.
Menurut beliau, mangsa cuba mendapatkan semula wang tersebut selepas memperoleh maklumat di internet, dipercayai menerusi Facebook, sebelum dihubungi individu yang menyamar sebagai peguam.
“Peguam palsu itu menjanjikan bantuan untuk mendapatkan semula wang yang hilang. Mangsa dipujuk secara berperingkat dan akhirnya membuat bayaran sedikit demi sedikit sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM1.2 juta,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.
Michael Chong berkata, mangsa masih mempercayai individu berkenaan ketika hadir membuat laporan di pejabat Biro Aduan Awam MCA kerana sering diberi layanan mesra, termasuk ucapan selamat pagi serta kiriman gambar pemandangan yang menenangkan.
“Mangsa dibawa oleh anak saudaranya ke pejabat kami. Walaupun sudah ditipu, dia masih percaya individu itu seorang yang baik,” katanya.
Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki yang turut menjadi mangsa penipuan pelaburan dengan kerugian kira-kira RM390,000.
“Mangsa cuba mendapatkan semula wang tersebut dan menemui individu yang juga menyamar sebagai peguam. Dia diminta membuat bayaran sekitar RM33,000 sebelum menyedari dirinya ditipu buat kali kedua,” katanya.
Menurut beliau, dua kes berkenaan adalah yang direkodkan secara rasmi oleh Biro Aduan Awam MCA, namun pihaknya percaya jumlah sebenar mangsa adalah lebih ramai.
“Ada individu yang menghubungi kami untuk mendapatkan pengesahan sama ada tawaran khidmat ‘peguam pemulihan wang’ ini tulen atau tidak. Ada yang sempat diselamatkan, namun ada juga yang terus membuat bayaran tanpa semakan,” katanya.
Jelasnya, pendedahan kes ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kewujudan sindiket yang aktif memancing mangsa melalui media sosial, khususnya Facebook.
“Kami berharap orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan janji kadar kejayaan tinggi sehingga 90 peratus yang sering digunakan untuk memperdaya mangsa,” katanya.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya memandang serius kegiatan sindiket berkenaan yang menyamar sebagai individu berkelulusan undang-undang bagi meyakinkan mangsa.
“Jika benar mereka peguam, perbuatan itu jelas melanggar Peraturan Publisiti Profesion Guaman 2001. Isu ini sangat serius dan sebab itu kami bertindak pantas untuk memberi amaran awal kepada orang ramai,” katanya.


