SEBUAH bas ekspres membawa 40 penumpang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tiga tan mengakibatkan 15 cedera termasuk tiga parah di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, antara Sungai Buaya dan Rawang awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 5.24 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.51 pagi.

Menurut beliau, sebaik sahaja tiba, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres membawa 40 penumpang dan dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dengan selamat, manakala empat mangsa tersepit di dalam bas.
“Pemandu lori berkenaan turut terperangkap di dalam lori,” katanya, lapor Bernama.
Menurut Ahmad Mukhlis, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan lapan daripadanya dirawat di zon hijau, empat zon kuning, dan tiga lagi zon merah.
Dalam pada itu, PLUS Malaysia dalam hantaran di Facebook melaporkan nahas mengakibatkan semua lorong terhalang.
Katanya, pengguna dinasihat menggunakan laluan alternatif dengan kenderaan berat disyorkan keluar di Plaza Tol Bukit Beruntung, manakala kenderaan ringan keluar di Plaza Tol Sungai Buaya.


