“Tidak kira jenis daging apa sekali pun, tindakan ini jelas mengapi-apikan. Dan jika benar ia daging khinzir (babi) dan dihantar ke sebuah masjid, ia adalah lebih buruk.” -Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam.
BUNGKUSAN yang dihantar ke Masjid Al-Istiqamah, Serangoon North Avenue 2, Singapura semalam sehingga menyebabkan jemaah terpaksa diarah keluar, mengandungi daging dan ia bukan kejadian terpencil, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara berkata, terdapat beberapa insiden serupa melibatkan masjid, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Memetik Berita Harian Singapura, Shanmugam menegaskan bahawa perbuatan menyasarkan rumah ibadat sama sekali tidak boleh diterima, dan Singapura mempunyai dasar toleransi sifar terhadap perbuatan itu.
Kata beliau, siasatan masih dijalankan untuk mengesahkan jenis daging tersebut, tetapi sekilas pandang, ia mungkin daging babi.
Pada masa sama, Shanmugam menekankan pentingnya masyarakat Singapura bertindak pantas serta menunjukkan perpaduan dengan masyarakat Islam agar rasa selamat tidak terjejas, dan supaya insiden sedemikian – yang mungkin biasa berlaku di negara lain – tidak menjadi kebiasaan di Singapura.
Dalam kejadian di masid berkenaan seorang wanita yang difahamkan merupakan kakitangan masjid berasa tidak sihat apabila menyentuh bungkusan tersebut dan dihantar ke Hospital Besar Sengkang.
Shanmugam berkata: “Setakat ini, insiden-insiden ini kelihatan hanya menyasar masjid, dengan bungkusan berisi daging dihantar. Tetapi kita perlu menunggu siasatan selesai.”
Apabila ditanya sama ada kejadian itu menunjukkan motif keagamaan yang lebih luas, Shanmugam menggesa agar orang ramai tidak membuat kesimpulan dengan terburu-buru.
“Kita harus nantikan siasatan selesai, selepas itu barulah kita akan tahu (dengan) lebih jelas sama ada ia terhad kepada agama tertentu atau isu yang lebih luas,” tambah beliau.
Namun, tegas beliau, apa jua keadaannya, perbuatan ini tetap tidak boleh diterima.
“Tidak kira jenis daging apa sekali pun, tindakan ini jelas mengapi-apikan. Dan jika benar ia daging khinzir (babi) dan dihantar ke sebuah masjid, ia adalah lebih buruk.
“Apa juga motif, perbuatan ini ibarat bermain dengan api dan kami memandang hal ini dengan amat serius dan kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati bertanggungjawab,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan berbahaya dalam bungkusan tersebut.
Shanmugam berkata bahawa kejadian tersebut bukanlah insiden pertama kerana terdapat beberapa kes lain yang serupa baru-baru ini di beberapa masjid lain di negara republik itu.
“Menjadikan rumah ibadat sebagai sasaran sama sekali tidak boleh diterima. Kami mempunyai dasar toleransi sifar terhadap tindakan seperti ini,” ujarnya.
Beliau turut akur bahawa kejadian sedemikian sering berlaku di beberapa negara lain, yang boleh “menimbulkan perpecahan dalam masyarakat”.
“Perkara yang sama boleh berlaku di sini jika kita tidak berhati-hati. Jadi bagaimana kita bertindak balas terhadap insiden sebegini amatlah penting,” ujar beliau.
Beliau juga memberi jaminan yang pihak polis sedang memantau keadaan dengan teliti dan telah meningkatkan kunjungan ke masjid-masjid, dan akan terus berbuat demikian bagi memastikan keselamatan terjamin.
“Tidak mungkin untuk kita menukar semua rumah ibadat menjadi kawasan berkubu kerana ia sememangnya ruang terbuka untuk orang ramai. Namun, kami akan mengambil langkah yang wajar, berdasarkan maklumat risikan, bagi melindungi keselamatan awam,” ujar beliau.


