Bekas pelumba TSG ketuai skuad negara sasar terbaik Asia LTdL 2025

PASUKAN kebangsaan Malaysia menamakan enam pelumba pertaruhannya hari ini ke perlumbaan berbasikal jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dengan sasaran muncul terbaik Asia dengan menyarung Jersi Putih.

Sasaran itu sekiranya tercapai bakal berupa penyuntik semangat terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas acara lebuh raya Sukan SEA Ke-33 di Suphanburi, Thailand pada Disember ini.

Skuad ini diketuai pelumba berpengalaman, Mohd. Shahrul Mat Amin yang lebih sedekad menyarung jersi Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) bakal meraih penampilan kelapannya dalam LTdL dan kali akhir pada 2018.

“Pasukan ini ini turut mengandungi Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi dan yang berpengalaman berlatih di Sepanyol, Zhe Yie Kee,” kata ketua jurulatih dan pengurus pasukan negara, Mohd. Yusof Abdul Nasir.

LTdL edisi ke-29 ini bermula di Pulau Langkawi, Kedah pada 28 September ini dan berakhir di Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC), 5 Oktober ini membabitkan jarak keseluruhan 1,244.2 kilometer.

“Jika kami dapat menyerlah sekurang-kurangnya dengan podium pada Peringkat 3 (Gerik) dan 5 (Bukit Fraser), mungkin peluang terbaik Asia itu lebih cerah.

“Di situ juga kami mungkin dapat mengukur tahap daya saing kami dengan pasukan-pasukan handalan antarabangsa dan mengatur strategi tertentu pada hari perlumbaan.”

“Kami pilih enam yang terbaik ini ke LTdL daripada 10 pelumba dalam pasukan kebangsaan berdasarkan prestasi dalam latihan serta perlumbaan Jelajah Kedah dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

“Kami bertanding dengan peruntukan hanya RM50,000 dan kami cuba selaraskan denga napa yang kami miliki dengan tempoh persiapan dua hingga tiga bulan,” kata Yusof dalam sidang media pengenalan pasukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Tirai perlumbaan yang disingkap di Pulau Langkawi sejauh 96.7 kilometer (km) akan diikuti Peringkat 2 dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (166.1km); 3 dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km) dan 4 dari Kuala Terengganu ke Kemaman (141.5km).

Peringkat 5 jelajah pula bermula di Temerloh hingga Bukit Fraser, Pahang (123.1km); 6 dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.5km);7 dari Melaka ke Medini, Johor (214.9km); 8 dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.2km) pada 5 Oktober.

Seorang pelumba simpanan pasukan negara sekiranya berlaku sebarang kecederaan pada saat terakhir pula ialah Muhamad Afiq Huznie Othman.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah yang juga Pengerusi Biro Lebuhraya PKBM percaya pencapaian dalam LTdL 2025 boleh memberi gambaran terbaik menjelang Sukan SEA Ke-33.

“Malaysia akan mempertahankan pingat emasnya di Suphanburi, Thailand. Biarpun senarai pelumba ke LTdL dan Sukan SEA mungkin berbeza sedikit, secara kasar kita boleh mengukur pencapaian pelumba Thailand, Indonesia dan Filipina yang turut menyertai LTdL,” katanya.

Malaysia turut diwakili dua lagi pasukan dalam perlumbaan berstatus 2.0 Siri Pro Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini iaitu Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) dan Berbasikal Profesional Malaysia (MPC).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img