Bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy dihukum penjara lima tahun atas tuduhan berkaitan pembiayaan kempen daripada Gaddafi

BEKAS Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun hari ini selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan konspirasi jenayah dalam perbicaraan terkenal berkaitan pembiayaan kempen dari Libya.

Beliau dituduh menerima dana kempen secara haram daripada bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi, untuk kempen pilihan raya Presiden Perancis tahun 2007.

Menurut laporan The Independent, Nicolas Sarkozy yang berusia 70 tahun telah dibebaskan daripada tuduhan lain hari ini, termasuk tuduhan menerima barang curi, penyelewengan dana awam, dan rasuah pasif.

Namun, beliau tetap disabitkan atas konspirasi jenayah berkaitan pembiayaan kempen pilihan raya secara haram dari Libya.

Ahli politik veteran Perancis itu telah berkhidmat sebagai Presiden negara tersebut dari tahun 2007 hingga 2012. Sarkozy sentiasa menafikan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan menyifatkan dakwaan itu bermotifkan politik.

Menurut The Independent, keputusan bersalah oleh mahkamah di Paris dibuat selepas perbicaraan selama tiga bulan awal tahun ini, yang turut melibatkan 11 tertuduh lain, termasuk tiga bekas menteri.

Sementara itu, Ziad Takieddine, ahli perniagaan warga Perancis-Lubnan berusia 75 tahun yang juga merupakan tertuduh bersama dan saksi utama dalam kes ini, telah meninggal dunia pada Selasa lalu di Beirut akibat serangan jantung.

Nicolas Sarkozy bersama Muammar Gaddafi.

Sebelum ini, Ziad Takieddine mendakwa bahawa beliau telah membantu menghantar sehingga €5 juta Euro (RM 24.62 juta) dalam bentuk tunai daripada Muammar Gaddafi kepada Nicolas Sarkozy pada tahun 2006 dan 2007.

Dalam satu wawancara bersama media penyiasatan Perancis, Mediapart, pada tahun 2016, Takieddine berkata beliau telah menghantar beg-beg berisi wang tunai dari Tripoli ke Kementerian Dalam Negeri Perancis semasa Sarkozy memegang jawatan menteri ketika itu.

Namun begitu, Takieddine kemudian menarik balik kenyataannya tetapi kemudiannya membatalkan penarikan itu yang akhirnya membawa kepada siasatan berasingan berhubung kemungkinan campur tangan terhadap saksi.

Akibatnya, Nicolas Sarkozy dan isterinya, model serta pemuzik Carla Bruni-Sarkozy, telah didakwa atas tuduhan menekan saksi. Kes ini masih dalam proses dan belum dibicarakan.

Menjelang keputusan mahkamah, penyiasat mendakwa bahawa Sarkozy telah menjalin pakatan korup dengan kerajaan Libya dalam satu urusan yang penuh keraguan, melibatkan perisik Libya, seorang pengganas yang telah disabitkan kesalahan, dan pedagang senjata.

Tuduhan ini berpunca daripada pendedahan Muammar Gaddafi pada tahun 2011, di mana beliau menyatakan bahawa kerajaan Libya telah secara rahsia menyalurkan berjuta-juta euro ke dalam kempen pilihan raya Sarkozy pada 2007.

Gaddafi kemudiannya digulingkan dan dibunuh pada tahun yang sama ketika gelombang Arab Spring, sekali gus menamatkan pemerintahan beliau selama empat dekad di Libya.

 Sarkozy terus menjadi perhatian pihak berkuasa sejak beliau meninggalkan jawatan residen. Pada Februari tahun lalu, beliau telah diarahkan untuk memakai alat pengesan elektronik selama setahun, menjadikannya bekas Presiden Perancis pertama yang dikenakan tindakan sedemikian selepas didapati bersalah atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan pengaruh. Namun begitu, alat pengesan tersebut telah ditanggalkan selepas tiga bulan.

Dalam kes yang berasingan, bekas Presiden Perancis itu telah disabitkan kesalahan tahun lalu berkaitan pembiayaan kempen pilihan raya secara haram semasa percubaan untuk dipilih semula  gagal pada tahun 2012.

Ketika itu, beliau didakwa membelanjakan hampir dua kali ganda daripada jumlah maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, dan didapati bersalah kerana melanggar peraturan pembiayaan kempen pilihan raya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img