BEKAS Panglima Tentera Darat (PTD) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat.
Selain beliau, dua isterinya turut direman, masing-masing dengan tempoh berbeza iaitu tiga hari bagi isteri pertama dan enam hari bagi isteri kedua.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga individu itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Peguam kepada bekas PTD, Nizamuddin Hamid berkata, pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
“Kita beri ruang untuk SPRM lakukan siasatan. Namun, saya telah memohon perintah tambahan daripada mahkamah bagi membenarkan anak guam mendapat akses kepada peguam,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Putrajaya sebentar tadi.
Menurut beliau, mahkamah telah membenarkan permohonan tersebut bagi memastikan hak anak guamnya terpelihara sepanjang tempoh reman.
“Sekiranya Tan Sri Muhammad Hafizuddeain memerlukan khidmat peguam, beliau boleh memaklumkan kepada SPRM. SPRM akan menghubungi kami dan kami akan hadir. Yang mana akses kepada peguam bagi individu yang disiasat SPRM sebelum ini agak sukar,” katanya.
Tambah Nizamuddin, pihaknya berharap SPRM dapat bekerjasama dengan mematuhi perintah mahkamah berhubung akses peguam kepada suspek.
Mengulas keadaan kesihatan anak guamnya, beliau berkata bekas Panglima Tentera Darat itu mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan masih dalam proses pemulihan.
“Keadaannya sedang pulih, namun tidak begitu baik. Oleh itu, terdapat perintah tambahan supaya pemeriksaan kesihatan berkala dilakukan oleh pihak SPRM sepanjang tempoh reman,” jelasnya.
Difahamkan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 23 dan Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Terdahulu, bekas PTD itu bersama dua isterinya tiba di Mahkamah Putrajaya bagi proses permohonan reman berhubung kes sisatan rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat kira-kira jam 10.02 pagi.
SPRM semalam mengesahkan akan memohon perintah reman terhadap tiga individu terbabit selepas mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 3 petang semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, tindakan menahan bekas PTD itu dibuat, selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital susulan rawatan tekanan darah tinggi.
SPRM sebelum ini turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terbabit dalam rangkaian kartel tender projek perolehan berkenaan.


