KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh menegaskan, sudah sampai masanya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, selama 3 tahun berada dalam kerajaan, UMNO cuba menghormati parti lain tetapi mereka telah melanggarkan garis merah yang telah dibuat oleh UMNO
‘’Kita dah beritahu, kita dah gariskan garisan merah, jangan sentuh agama kami, jangan sentuh raja-raja kami dan jangan sentuh bangsa kami. Tiga tahun kita bersangka baik tetapi dalam tiga tahun itu mereka seolah-olah menghina dan biadab ke atas kita, ‘’ tegasnya ketika berucap di Konvensyen Pemuda UMNO di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam ucapan itu, Dr.Akmal melontarkan persoalan kepada hadirin yang terdiri pemimpin Pemuda UMNO, adakah UMNO hendak berdiri dalam kerajaan yang tidak hormati garis merah orang Melayu.
‘’Adakah kita perlu duduk dalam sebuah kerajaan yang gagal menghormati maruah orang Melayu,’’ katanya sambil disambut ‘tidak’ oleh hadiri.
Sambil memberi contoh beberapa kes termasuk pemasangan Jalu Gemilang terbalik, Dr.Akmal berkata, garisan merah itu terang-terangan dilanggar , bukan sekali malah berkali-kali.
‘’Sensitiviti kita ini seolah-olah tidak ada nilai bagi mereka, kita dipaksa tunduk sebab apa? Atas perpaduan katanya. Saya sudah beri amaran jika garisan merah yang kita gariskan kamu langgar, Pemuda UMNO akan lawan dan tentang habis-habisan,’’ katanya.
Dr.Akmal berkata, dulu UMNO diminta menyertai kerajaan kerana parti-parti pembangkang tidak cukup kerusi, tetapi hari kata beliau keadaan jauh berbeza.
‘’UMNO ada 26 kerusi…kerajaan ada antara 152 hingg 153 kerusi, kalaupun UMNO keluar, kerajaan masih lagi (boleh memimpin. Jadi pimpinlah biarlah UMNO menjadi pembangkang. UMNO bukan sebuah parti yang melengkap angka, UMNO ini bekerja menyumbang kepada negara,’’ katanya.


