SEORANG wanita warganegara Indonesia berusia 32 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 sebuah bangunan kediaman di Setapak, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.43 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur atau tanda perlakuan jenayah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


