SEBUAH lori polis black maria membawa 10 orang kena tuduh (OKT) terbalik menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan, di simpang empat lampu isyarat, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Pekan Rembau, pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kejadian jam 9.40 pagi itu berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Penjara Seremban menuju ke Mahkamah Rembau.
“Ketika kejadian lima anggota pengiring bersama OKT menaiki sebuah kenderaan untuk ke Mahkamah Rembau bagi urusan waran penahanan.
“Bagaimanapun, ketika membelok ke kanan jalan di lokasi, lori itu dikatakan hilang kawalan dan terbalik menyebabkan empat OKT cedera, manakala enam lagi mengalami luka ringan,” katanya hari ini.
Menurut Azmi, OKT yang cedera dibawa ke Hospital Rembau menggunakan ambulans bersama dua anggota pengiring serta eskot MPV untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, susulan kejadian berkenaan, Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau dan Trafik IPD Rembau hadir ke tempat kejadian untuk memberi bantuan awal.


