ANGKA korban dalam tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand kelmarin kini meningkat kepada 25 orang apabila empat lagi mayat ditemukan hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah.
“Sebuah aset Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi dan mayat tersebut berjaya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Tidak lama selepas itu, Maritim Malaysia menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang terapung di perairan Tanjung Chincin, diikuti penemuan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti di kawasan sama.
Kesemua mayat dibawa ke Teluk Ewa untuk proses dokumentasi dan siasatan.
Pada jam 11.20 pagi, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut melaporkan penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki berhampiran Tanjung Belua, yang kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa.
Romli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang.
“Maritim Malaysia bersama semua agensi sokongan kekal komited dalam usaha mengesan mangsa yang belum ditemukan. Kami akan terus memperluas kawasan pencarian,” ujarnya.


