PENGARAH dan penyanyi rap kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee dipercayai mempunyai ‘hubungan istimewa’ dengan pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui maut dalam bilik sebuah hotel di ibu negara pada bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati Namewee dipercayai bersama wanita itu sejak dari luar negara hingga kejadian berlaku di Malaysia.
“Dia (Namewee) dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa… (namun) siasatan lanjut masih diteruskan dan kita sudah merakamkan keterangan (bagi membantu siasatan),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Deepavali Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini, lapor Berita Harian.
Namewee sebelum ini dilaporkan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan kes mangsa dikenali sebagai Hsieh Yun Hsi yang ditemui maut pada 22 Oktober lalu.
Media semalam melaporkan perintah reman terhadap Namewee, 42, disambung tiga hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh wanita berusia 31 tahun itu.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa, termasuk ujian toksikologi, untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, beliau berkata, siasatan adalah positif dan Namewee juga memberikan kerjasama membantu siasatan yang dijalankan.
“Siasatan masih diteruskan dan kita akan usaha lagi berdasarkan bukti yang ada.
“Kita akan mengemukakan cadangan (pertuduhan) kepada (Pejabat) Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat (sebaik saja kertas siasatan dilengkapkan),” katanya.
Dalam pada itu, Fadil memaklumkan, mayat mangsa belum dituntut oleh keluarganya.
Bagaimanapun, katanya, ada individu yang cuba menuntut jasad wanita itu tetapi tidak dibenarkan kerana tiada kebenaran disahkan.
Beliau sekali gus meminta mana-mana pihak yang ada maklumat mengenai keluarga mangsa, supaya tampil untuk membolehkan tindakan lanjut diambil.


