Bukit Aman serbu makmal dadah dalam kebun durian, rampas 1.2 tan syabu

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan sindiket dadah antarabangsa apabila membongkar sebuah makmal memproses dadah haram yang beroperasi di kawasan kebun durian terpencil di Telok Bahang, Pulau Pinang selain merampas syabu seberat kira-kira 1.2 tan bernilai hampir RM38 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu dicapai hasil risikan berterusan dengan kerjasama Polis Kontinjen Pulau Pinang menerusi beberapa siri serbuan yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai didalangi individu warga asing yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dadah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa dan tempatan.

DATUK Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan hasil proses dadah selepas polis membongkar makmal haram memproses dadah jenis methamphetamine bernilai RM38 juta dalam kebun durian di Teluk Bahang, Pulau Pinang. GAMBAR: Facebook PDRM

“Polis menahan tiga lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 38 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ahli kimia bagi memproses dadah tersebut,” katanya dalam sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis di sekitar Jalan Gurdwara di Georgetown yang membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing berkenaan, manakala seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai koordinator sindiket cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek terbabit terjatuh dari tingkat lima bangunan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Hussein berkata, hasil pemeriksaan di premis tersebut membawa kepada rampasan serbuk putih disyaki syabu seberat kira-kira 26 kilogram selain pelbagai peralatan pembungkusan dadah.

Menurutnya, serbuan kedua di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill, Jalan Gurdwara menemukan serbuk disyaki syabu seberat 474 kilogram yang dipercayai dijadikan stor simpanan serta lokasi pembungkusan semula.

“Serbuan ketiga di kawasan kebun durian seluas kira-kira 32 hektar di Telok Bahang menemukan serbuk syabu seberat 60 kilogram, ketulan kristal syabu seberat 54 kilogram serta cecair mengandungi dadah dianggarkan seberat 574 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Ogos lalu dan dadah yang diproses dilaporkan pernah dihantar sebanyak tujuh bungkusan ke pasaran antarabangsa termasuk Australia dan Hong Kong.

Menurut Hussein, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyewa kawasan kebun durian yang terpencil, memasang pagar berlapis serta kamera litar tertutup (CCTV), selain membuat sambungan bekalan elektrik secara haram.

“Siasatan juga mendapati dadah yang dihasilkan bukan sahaja dalam bentuk serbuk, malah dilarutkan ke dalam fabrik atau kepingan kanvas sebelum dieksport bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan menyewa kawasan kebun durian itu dengan kadar RM80,000 setahun, manakala bahan prekursor dan peralatan memproses dadah dibawa masuk dari luar negara.

Hussein berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asal, termasuk seorang yang pernah dipenjarakan selama tujuh tahun.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Selain itu, polis turut menyita harta bernilai kira-kira RM181,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger, Toyota Vios, sebuah forklift Toyota serta sebuah ATV.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img