SEORANG lelaki cedera selepas dipukul pemain pasukan lawan sebaik tamat perlawanan persahabatan bola sepak di Padang Bola Sepak RRI Sungai Buloh, Selangor pada Rabu lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.56 malam ketika mangsa bersama pasukan bola sepaknya menyertai perlawanan persahabatan di padang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 Januari lalu kira-kira jam 4.24 petang.
“Berdasarkan laporan mangsa mendakwa selepas tamat perlawanan, dia dipukul menggunakan tangan oleh seorang lelaki daripada pasukan lawan dan punca kejadian dipercayai kerana mengejek. Mangsa mengalami kecederaan tisu lembut soft tissue injury di kepala dan sudah menerima rawatan.
“Berikutan laporan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut dan lelaki terbabit yang memukul mangsa juga sudah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan hadir di mana-mana balai polis berhampiran.
Menurutnya, sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz Seleman di talian 016-450 7492.


