SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut manakala abangnya cedera di kaki selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 10.2 Lebuhraya Linkedua arah selatan, di Iskandar Puteri, Johor malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 malam, ketika motosikal dinaiki dua beradik itu dari arah Kota Tinggi menghala ke Gelang Patah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal mangsa yang berada di lorong kanan, secara tiba-tiba menukar haluan ke lorong kiri kerana ingin keluar dari lebuh raya itu.
“Pada masa yang sama, datang sebuah lori dari arah belakang dan bergerak lurus di lorong tengah tidak sempat mengelak, lalu merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumarasan, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan tangan kiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala abangnya mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan susulan.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


