CUACA panas yang melanda negara ketika ini, dijangka boleh berterusan dalam tempoh dua minggu lagi.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata, cuaca panas ketika ini berpunca daripada fenomena Ayunan Madden-Julian yang menyebabkan tekanan atmosfera tinggi.
Ia menyebabkan kurangnya awan dan hujan serta pancaran matahari lebih lama, sekali gus menyebabkan suhu permukaan bumi meningkat, membawa kepada gelombang haba.
“Fenomena ini bermula dua minggu lepas dan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat (AS) telah keluarkan ramalan minggu lepas, fenomena ini masih berlegar dan akan berterusan sehingga dua minggu. Dalam keadaan itu kita masih berdepan cuaca agak panas.
“Faktor utama menyebabkan cuaca kering, panas ketika ini disebabkan Ayunan Madden-Julian yang sering berlaku sekali dalam tempoh 20 hingga 60 hari. Satu fenomena semula jadi, kawasan kita mengikut fasanya, perolakan ini menyebabkan kita akan alami keadaan kering dan ada juga boleh menyebabkan hujan berlebihan,” katanya kepada TV3.
Beliau berkata, situasi cuaca panas dijangka bersambung apabila peralihan Monsun Barat Daya pada Jun depan, diikuti fenomena El-Nino yang akan melanda negara
“Kalau mengikut ramalan Pusat Ramalan Iklim AS, kebarangkalian El-Nino pada tahun ini akan muncul sekitar Jun atau Julai melebihi 70 peratus dan akan berkembang sehingga hujung tahun dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
“Saya merasakan fenomena El-Nino kali ini kemungkinan berintensiti kuat kalau melihat daripada data-data dari Pusat Ramalan Iklim AS,” ujarnya.
Turut mempengaruhi fenomena itu, peningkatan suhu di bahagian kedalaman Lautan Pasifik yang sedang berkembang sekali gus mempengaruhi suhu permukaan laut dan corak tiupan atmosfera.


