DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kompaun terhadap 22 individu kerana menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) dalam operasi malam tadi.
Jurucakap DBKL memaklumkan, operasi bersepadu KL Strike Force yang dijalankan bermula jam 9 hingga 11.15 malam itu melibatkan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Susulan kesalahan itu, peralatan perniagaan milik individu terlibat disita DBKL dan pemilik boleh menuntut semula selepas menjelaskan kompaun,” katanya semasa ditemui selepas operasi, lapor Bernama.
Beliau berkata, kesemua jurugambar yang diperiksa merupakan warga tempatan.
Beliau berkata, tindakan terhadap jurugambar tanpa lesen dijalankan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM2,000.
Selain itu, beliau berkata pemantauan berkala dan rondaan akan terus dipergiat, khususnya pada waktu malam di kawasan tersebut bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut peraturan.
Sementara itu, tinjauan di lokasi operasi mendapati perkhidmatan fotografi berlatarbelakang KLCC ditawarkan pada kadar RM5 untuk warga tempatan dan RM10 warga asing bagi sekeping gambar.
Namun, apa yang menghairankan UtusanMelayuPlus, lokasi tumpuan itu turut menjadi pusat jurugambar jalanan warga asing yang menjalankan kegiatan mereka sebelum ini tetapi ke mana mereka menghilang dalam operasi malam tadi?.
Kenapa hanya jurugambar jalanan tempatan sahaja yang dikompaun dan diperiksa, apakah warga asing itu sudah mendapat maklumat lebih awal mengenai serbuan itu.


