PERSARAAN Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias tidak mempunyai kaitan dengan siasatan Op Sohor yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama, hari ini.
“Tiada kena mengena dengan siasatan berkenaan,” katanya ringkas.
Beliau mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terlibat kes penyeludupan dadah Ogos lepas.
Mohamed Khaled turut mengesahkan bahawa kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.
Menurut sumber rasmi, Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali pada Disember 2026.


