Dewan Pemuda Pas lulus usul Pas ambil kepimpinan PN

JIKA pada Ahad lalu dua sayap Bersatu sepakat mahukan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU), Muktamar Dewan Pemuda Pas hari ini meluluskan usul ‘lebih mengancam’.

Ia berikutan perwakilan Pemuda Pas di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas  Ke-66 di Markas Pas Kedah hari ini sebulat suara meluluskan resolusi menggesa kepimpinan parti mengambil alih tampuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Seramai 600 perwakilan Pemuda melaungkan persetujuan terhadap usul yang dibacakan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khair Nadzir Helmi.

“Inilah masanya tuan-tuan. Pas perlu memimpin PN. Inilah masanya Pas perlu memimpin dan menerajui kepimpinan negara Malaysia. Dengan ini Pemuda Pas secara tegas mendesak mengusulkan agar usul ini dapat dibaca sehingga ke Muktamar Pas pusat, memberi kepercayaan kepada negara untuk membenarkan Pas menerajui PN,” katanya.

Tindakan Dewan Pemuda Pas itu dijangka menjadi momentum berterusan apabila Muktamar Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat Pas bermula esok seterusnya muktamar induk pada Isnin dan Selasa ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin memberi pandangan yang dilihat ‘menegur secara lembut’ tindakan Bersatu menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Bersatu.

Hari ini, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan, keutamaan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah memastikan kemenangan, bukannya menamakan siapa calon Perdana Menteri ke-11.

Bagaimanapun, tidak menolak keyakinan bahawa akan tiba masanya pemimpin parti itu diberi mandat untuk memimpin kerajaan Persekutuan.

“Fokus utama kita ialah menang pilihan raya. Jadi, kita perlu pastikan jentera dan gerak kerja pilihan raya berkesan, tumbangkan dulu kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

 “Selepas itu, barulah ditentukan siapa yang layak. Lebih-lebih lagi jawatan Perdana Menteri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Pandangan saya mudah, sampai masanya Pas akan menjadi Perdana Menteri. Jadi akan ada pemimpin yang ditentukan pada waktu itu,” katanya ketika ditemui selepas Muktamar Dewan Pemuda Pas.

Mengulas mengenai tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan calon Perdana Menteri ke-11 pada Persidangan Agung Tahunannya Sabtu lalu, Ahmad berkata, perkara itu adalah hak parti berkenaan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah menjelaskan, Pas juga mempunyai ruang yang sama untuk mengemukakan sebarang usul pada Muktamar.

“Itu PAT (Perhimpunan Agung Tahunan) Bersatu. Jadi, ahli dan kepimpinan Bersatu ada hak untuk membuat usul dan membuka pandangan tentang masa depan negara.

“Dalam konteks Perikatan Nasional (PN), sudah tentu keputusan mesti dibuat bersama. Tapi bagi parti masing-masing, Pas juga boleh kemukakan usul, begitu juga dengan Gerakan atau parti lain,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img