SEORANG lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas ditegur kerana merokok dalam sebuah restoran di Seksyen 13 di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa yang merupakan wanita hamil bersama suaminya tidak selesa dengan tindakan suspek yang merokok di meja berdekatan.
Beliau berkata, mangsa kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan suspek itu namun tidak diendahkan.
“Selepas tiga kali ditegur oleh suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan. Suspek kemudian didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa sempat merakam kejadian kerana bimbang suaminya dicederakan.
“Suspek kemudian bertindak menepis tangan mangsa mengakibatkan telefon bimbit mangsa terjatuh. Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang ketika itu dipenuhi pelanggan,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, siasatan di lokasi mendapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 bagi membantu siasatan,” katanya.


