Pas sedia pimpin Malaysia,  tidak akan pinggirkan hak, kepentingan kaum lain – Hadi

BUAT pertama kalinya, Pas hari ini secara terbuka menyatakan bersedia  memimpin Malaysia yang bermasyarakat majmuk, berpegang pada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan pentafsiran Islam yang sebenar (al-din) tanpa meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain.

Ketika menegaskan pendirian Pas itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hanya Islam yang sempurna, adil, dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat.

‘’Maka, inilah komitmen yang akan terus dipegang oleh Pas sebagai suatu janji kepada rakyat bukan Islam iaitu Islam mendahulukan perdamaian dan persaudaraan tanpa paksaan dalam beragama, walaupun Islam berkuasa sepenuhnya serta Islam mewajibkan pemerintah untuk bersikap adil kepada semua,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-71 di Alor Setar.

Abdul Hadi berkata, Islam mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa-apa yang diizinkan oleh agama mereka dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam; dan  Islam menyuruh umatnya menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara akidah.

Beliau berkata,  Islam telah berjaya memimpin bangsa Melayu daripada jahiliah kepada Islam yang berkuasa tetapi malangnya, dijatuhkan bersama kejatuhan kuasa besar Islam sehingga dijajah dan diratah oleh penjajah musuh Islam.

‘’Namun, umat Melayu Islam tidak menyerah kalah dan terus menentang penjajah mendahului kaum lain yang dibawa masuk oleh penjajah mengikut perancangan mereka, sehingga wujudnya masyarakat majmuk yang terkini,’’ katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, kewajipan kita ialah kembali kepada teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menyatukan bangsanya bersama Islam dan mewujudkan kumpulan Islam yang berkuasa.

‘’Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.

‘’Seterusnya, menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera. Pas memperkenalkan pendekatan penyatuan ummah mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan keluarga masyarakat majmuk,’’ katanya.

Sehubungan itu kata Abdul Hadi Pas menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

Pada masa yang sama, kata beliau, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

‘’Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek, dan tidak beristiqamah bersama Islam,’’ katanya.

Abdul Hadi menegaskan, kKejayaan kerajaan negeri bawah pentadbiran Pas mengatasi masalah rasuah dan salah laku diakui oleh kawan dan lawan, namun kita bersyukur kepada Allah .

Beliau berkata,  dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pas telah mencapai kejayaan yang terbesar sejak penubuhannya apabila berkuasa memerintah empat kerajaan negeri dan mendapat jumlah terbesar Ahli Parlimen dibandingkan dengan parti- parti lain.

‘’Maka, kita berkewajipan meneruskan perjuangan mengisi kemenangan yang lebih mencabar daripada mencapai kemenangan. Seterusnya, kita berkewajipan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang telah berjaya.

‘’Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis yang telah dikuasai oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) ialah ‘Negeri Pangkalan’ yang wajib dipertahankan dan dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri,’’ katanya.

Kata beliau, adapun kemenangan seterusnya akan disumbangkan oleh Pahang, Perak, dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi Pas dan PN di peringkat Parlimen, di samping melonjakkan pencapaian di negeri selatan dan juga di negeri Sabah .



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img