JABATAN Mufti Negeri Pahang menegaskan dokumen yang tular di media sosial didakwa surat rasmi berkaitan penetapan waktu Solat Sunat Aidilfitri bagi negeri itu adalah palsu.
Menurut jabatan itu dalam kenyataan, pihaknya memandang serius penyebaran dokumen berkenaan yang didakwa dikeluarkan oleh jabatan tersebut.
Katanya, dokumen itu bukan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang dan orang ramai diminta tidak mempercayai serta menyebarkan maklumat tidak sahih.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama negeri bagi mendapatkan maklumat tepat.
“Pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang juga tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu ini berterusan,” menurut kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, semua pihak diminta bekerjasama bagi mengekang penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Kerjasama semua pihak dalam mengekang penyebaran berita palsu amatlah dihargai,” katanya menerusi kenyataan rasmi jabatan itu.
Terdahulu, tular penyebaran dokumen di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu solat sunat Aidilfitri negeri itu pada jam 8.45 pagi, 20 Mac ini.


