DUA penyelam skuba yang dikhuatiri hilang ketika melakukan kegiatan penyelaman di kawasan Taman Laut Pasir Akar, Pulau Redang, Kuala Terengganu semalam ditemukan selamat malam tadi.
Mangsa iaitu Shahimi Zainal Abidin, 30, dari Kajang, Selangor dan penyelam warganegara China, Tan Yan Song, 43, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di perairan Pulau Yu selepas dihanyutkan arus ketika melakukan aktiviti penyelaman kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.
“Mangsa dalam keadaan selamat selepas ditemukan terapung pada jarak 10 batu nautika selepas kira-kira 12 jam dilaporkan hilang.
“Kedua-dua mangsa segera dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Redang untuk menerima rawatan sebelum dihantar ke Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Setiu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Azli berkata, sebelum dilaporkan hilang, mangsa bersama tiga termasuk pemandu bot dikatakan bertolak daripada jeti Laguna ke kawasan taman laut di Pasir Akar untuk melakukan aktiviti penyelaman, kira-kira jam 10 pagi.
Bagaimanapun katanya, selepas lebih dua jam melakukan aktiviti penyelaman, dua mangsa dilaporkan hilang selepas tidak muncul di permukaan air.


