SEORANG warga Arab Yahudi yang lahir dan tinggal di Israel, Alon Mizrahi, mendedahkan bahawa keadaan sosial dan politik di negara itu ketika ini semakin luar biasa dan tegang susulan serangan balasan Iran.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Alon menyatakan bahawa tindak balas ketenteraan oleh Iran terhadap pencerobohan oleh Israel bersama Amerika Syarikat mula mencetuskan keadaan genting yang boleh membawa kepada keruntuhan autoriti politik dan ketenteraan Zionis.
Menurut beliau, kerajaan Israel yang dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berpotensi mengalami kejatuhan sekiranya serangan balas Iran berterusan.
“Saya fikir dengan perkembangan seperti ini, dalam masa sebulan atau lebih, negara ini akan mula runtuh sedikit demi sedikit,” katanya seperti dipetik daripada akaun X miliknya semalam, lapor media antarabangsa.
Alon yang juga seorang wartawan berkata, serangan balas Iran sepanjang dua minggu konflik berlangsung telah menunjukkan tanda-tanda kelemahan dalam kekuatan ketenteraan Israel.
Menurutnya, kelemahan tersebut menyebabkan pihak berkuasa di Tel Aviv hampir tidak mampu mempertahankan diri secara berkesan daripada serangan yang berterusan.
“Saya mengandaikan bahawa Iran telah berjaya melemahkan tentera udara Israel secara serius, dan Israel tidak mempunyai jawapan terhadap keadaan itu,” tulisnya.
Beliau turut memerhatikan perubahan psikologi secara besar-besaran dalam kalangan masyarakat Israel sejak serangan balasan Iran bermula pada 28 Februari lalu.
Menurut Alon, perubahan tersebut jelas kelihatan melalui rasa ketakutan yang semakin meluas dalam kalangan penduduk, selain kesedihan akibat kehilangan nyawa dan kemusnahan yang berlaku.
Selain itu, katanya, sebahagian masyarakat juga mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan semasa.
Alon turut menyatakan bahawa rasa kecewa rakyat semakin memuncak berikutan khabar angin mengenai keadaan pemimpin negara yang masih belum dapat dipastikan.
“Saya tidak dapat menyatakan dengan tepat apa yang mendorong saya berkata demikian. Namun bagi seorang warga yang peka seperti saya, ada sesuatu yang tidak kena. Terdapat kejanggalan, keanehan dan kelesuan yang dapat dirasakan,” katanya.
Tambahnya lagi, suasana itu mungkin berkait dengan keadaan kesihatan Benjamin Netanyahu atau kehilangan beberapa keupayaan strategik dalam kepimpinan negara.
“Suasana jelas telah berubah, dengan rasa takut dan kesedihan yang semakin ketara dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Konflik terbuka antara Israel dan Amerika Syarikat dengan Iran kini memasuki minggu kedua sejak bermula pada 28 Februari lalu. Setakat ini, belum ada sebarang rundingan gencatan senjata diumumkan.
Israel dan Amerika Syarikat dilaporkan masih meneruskan serangan udara menggunakan jet pejuang terhadap beberapa kemudahan strategik di wilayah Iran.


