JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan dua warga asing menyeludup hampir 15 kilogram (kg) dadah yang disembunyikan dalam kotak teh Cina dan patung permainan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 November lalu.
Kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki warga China dan seorang wanita warga Thailand ditahan selepas imej imbasan bagasi mereka menimbulkan syak kepada anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL.
Pengarah JKDM LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, pemeriksaan ke atas bagasi warga China menemukan beberapa bungkusan kecil berwarna kuning berisi serbuk disyaki ketamin yang disembunyikan dalam tin dan kotak merah berlabel Refined Chinese Tea.
“Dalam bagasi warga Thailand pula pihak kami menemukan objek berbentuk kapsul berisi serbuk disyaki kokain yang disorok di dalam patung soft toy,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan bersama barang rampasan sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL untuk siasatan lanjut.
Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 2.7kg ketamin bernilai lebih RM135,000 dan 12kg kokain bernilai lebih RM2.4 juta, kata beliau.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM2.53 juta, ketamin dan kokain adalah bahan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah Zulkifli.
Menurutnya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut meminta orang ramai memberikan kerjasama dan membantu mengekang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah mengancam keselamatan rakyat.
“Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau di mana-mana pejabat JKDM berhampiran. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.


