DALAM tempoh tidak sampai 12 jam, tiga kes lemas akibat kenderaan terjatuh dalam sungai atau tasik berlaku di seluruh negara. Terbaharu seorang tukang masak maut selepas kereta dinaiki bersama rakannya terjunam ke dalam sungai di Jalan Pengkalan, Sungai Petani, Kedah tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.55 tengah malam itu, mangsa, Loo Eng Huat, 34, gagal menyelamatkan diri setelah kereta jenis Toyota Vios dipandunya terbabas ke dalam sungai ketika melalui sebuah jambatan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, bagaimanapun rakannya yang merupakan penumpang kereta, Ooi Jing Huang, 30, juga bekerja sebagai tukang masak dilaporkan hanya mengalami kecederaan.
“Polis menerima maklumat satu kemalangan jalan raya melibatkan kereta jenis Toyota Vios warna hitam terjatuh ke dalam sungai.
“Siasatan awal mendapati kereta dari arah Riverfront Sungai Petani menghala ke arah Taman Intan telah hilang kawalan kemudian terlanggar penghadang besi jambatan lalu terbabas ke dalam sungai,” katanya hari ini.
Menurut Hanyan, penumpang sempat keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri sebelum kereta tenggelam.
“Pemandu kereta berjaya dikeluarkan pasukan bomba namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat.
Semalam, dua kejadian lemas berlaku apabila sepasang suami isteri warga emas hilang selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Rompin dekat Kampung Ayau, Kuala Rompin, Pahang kira-kira jam 4.45 petang.
Dalam satu lagi kejadian, seorang pelajar Doktor Falsafah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mati lemas manakala rakannya terselamat selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terbabas ke dalam tasik di universiti itu di Jeli, Kelantan kira-kira jam 6.15 petang.


