PENGUSAHA chalet dan resort diminta agar tidak menjadikan lokasi premis mereka digunakan untuk program anjuran kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Glamping With Pride yang dirancang pada 17 dan 18 Januari depan di Hulu Langat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, ini kerana penganjuran itu bertentangan dengan ajaran Islam, nilai moral dan norma masyarakat.
Beliau berkata, pengusaha chalet dan resort di Dusun Tua atau Hulu Langat seharusnya membatalkan serta-merta sebarang penglibatan berkaitan.
“Saya ingin menyatakan pendirian tegas berhubung penganjuran program yang dikaitkan dengan unsur LGBT yang dimaklumkan akan diadakan di kawasan Dusun Tua atau Hulu Langat.
“Penganjuran program seumpama ini mencetuskan keresahan serta mengundang kemarahan masyarakat.
“Sebarang usaha mempromosikannya secara terbuka merupakan satu bentuk provokasi sosial yang boleh menggugat keharmonian awam dan sensitiviti penduduk setempat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, sebuah kumpulan pro LGBT menyatakan mereka akan meneruskan program Glamping With Pride di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof hari ini dilapor mengesahkan polis menerima lima laporan berhubung penganjuran program berkenaan.
Mengulas lanjut, Johan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh akidah, moral dan keharmonian masyarakat setempat.
“Dusun Tua bukan pusat kegiatan maksiat dan tidak akan menjadi tempat kepada agenda yang dimurkai oleh Allah SWT,” katanya.


