TINDAKAN seorang pelajar lelaki mengejek rakan lain mengundang padah apabila dia dipukul di dalam tandas asrama oleh beberapa pelajar lain sehingga pengsan di sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah awal pagi Isnin lalu.
Mangsa yang berusia 16 tahun dan merupakan pelajar tingkatan empat di sekolah itu ditemukan pengsan di dalam tandas asrama sekolah oleh guru sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.
Difahamkan, mangsa dipukul sekitar jam 12.10 tengah malam, dipercayai berpunca daripada tindakannya yang didakwa memburukkan seorang rakan kepada salah seorang suspek.
Ibu mangsa kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah pada jam 9.05 pagi Selasa dan didapati terdapat kecederaan lebam di badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati seorang pelajar berang selepas mangsa dipercayai mengaibkan rakannya sebelum mengajak tiga lagi pelajar lain untuk mencari mangsa.
“Berlaku pergaduhan antara mereka dan mangsa mengalami lebam pada badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Hanyan berkata, empat pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun ditahan namun hanya seorang, iaitu pelajar tingkatan empat terbabit direman tiga hari manakala tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan, tambah beliau.


