Gaduh depan masjid, sembilan remaja termasuk pelajar ditahan

SEMBILAN remaja termasuk seorang pelajar sekolah ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan beramai-ramai di hadapan Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu dekat Melaka, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua sembilan suspek berusia 18 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Tangga Batu pada hari kejadian, bagi membantu siasatan kes itu.

“Pelajar terbabit direman sehari manakala individu lain direman tiga hari.

“Polis turut merampas pelbagai barangan disyaki digunakan suspek dalam pergaduhan itu termasuk topi keledar dan motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, kelmarin, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, polis trafik sudah membuat operasi di kawasan itu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan pada minggu lalu selain turut menahan beberapa individu.

Namun katanya, kumpulan geng motosikal terbabit dikesan masih lagi berkumpul seolah-olah mencabar pihak polis supaya menangkap mereka.

“Kepada kumpulan remaja, menjelang Hari Raya ini kami memberi peringatan keras supaya tidak berkumpul, membuat kecoh terutamanya di kawasan bandar dan perumahan.

“Memang kali ini agak kurang ajar…berlaku (bergaduh) di depan masjid dalam bulan puasa. Sepatutnya di bulan baik dan mulia ni masjid itulah tempat untuk beramal ibadat, bukannya digunakan untuk berkumpul dan membuat kecoh.

“Kita tidak akan memberi muka kepada puak-puak ini dan akan memastikan mereka dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang buruh binaan cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian rusuhan di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani Tangga Batu di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa berusia 24 tahun didakwa ditegur oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduh dia menjadi punca adiknya ditangkap polis berhubung kes kecurian motosikal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img