PASUKAN penguat kuasa Melaka hari ini menyerbu sebuah hotel berkonsepkan ‘mesra gay’ di Taman Malim Jaya yang tular dalam media sosial sejak semalam didapati kosong ketika diserbu pihak berkuasa, hari ini.
Serbuan jam 11 pagi itu dilakukan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi menyiasat dakwaan premis itu mempromosikan aktiviti tidak bermoral.
Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Harun berkata, pemeriksaan turut menemukan bekas kondom digunakan di salah sebuah bilik.
Ketika serbuan, kata beliau, premis yang mempunyai 37 bilik itu tidak berkunci selain tiada penjaga premis atau pelanggan di lokasi berkenaan.
“Pengurus dan pekerja hotel yang dihubungi juga mengelak daripada hadir ke premis ketika operasi dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut oleh JAIM turut menemui bekas kondom digunakan di dalam tong sampah salah sebuah bilik,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Susulan itu, Sapiah berkata, lesen premis dibawa ke pejabat MPHTJ untuk tindakan lanjut, manakala Jabatan Penguatkuasaan (JPK) memasang tali keselamatan bagi menghalang pintu masuk sehingga pemilik hadir memberi penjelasan.
“Pemeriksaan ini adalah langkah penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga sensitiviti dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Katanya, MPHTJ menegaskan pihaknya akan memantau perkembangan premis berkenaan secara berterusan dan mengambil tindakan tegas sekiranya pemilik gagal memberi penjelasan, termasuk kemungkinan menarik semula lesen premis.
Media sebelum ini melaporkan JAIM diarahkan menyiasat dakwaan sebuah hotel berkonsepkan ‘mesra gay’ yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan jabatan terbabit berbuat demikian sebelum satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan mengenai perkara itu.


