SEORANG wanita warga China ditemui dibalut dengan pita pelekat di dalam sebuah kereta Mercedes-Benz yang terbabas di bahagian belakang sebuah kawasan perumahan di Pattaya memberitahu polis bahawa dia telah diperdaya dan dirompak.
Polis dipanggil ke kawasan perumahan Zensiri di Nong Prue kira-kira jam 1 pagi pada Isnin. Di lokasi, mereka menemui sebuah kereta Mercedes-Benz yang terbabas serta seorang wanita yang ditutup mata dan dibalut dengan pita pelekat, terbaring di lantai di belakang tempat duduk hadapan.
Wanita berusia 35 tahun itu, Yang Wang, memberitahu polis bahawa dia mengenali seorang lelaki warga China bernama Gong Gaopeng, 30, melalui platform WeChat, dan lelaki itu berjanji untuk menunjukkan kepadanya sebuah rumah untuk dijual, lapor bangkokpost.com
Dia memandu keretanya untuk mengambil lelaki tersebut di Jalan Sukhumvit Pattaya 59 kira-kira pukul 7.37 malam pada Ahad. Setibanya di kawasan perumahan itu, lelaki berkenaan menunjukkan sebuah rumah kepadanya, dan Yang berkata dia memutuskan untuk membelinya.
Ketika dia memandu keluar dari kawasan perumahan itu, lelaki tersebut yang duduk di tempat duduk belakang mencapai ke hadapan dan mengancamnya dengan sepasang gunting yang diacukan ke arah pinggangnya. Dia mengarahkan wanita itu supaya memandu ke bahagian belakang kawasan perumahan.
Lelaki itu kemudian membalutnya dengan pita pelekat. Dia merampas telefon bimbit mangsa dan memaksanya memberikan kata laluan. Lelaki itu kemudian menggunakan telefon berkenaan untuk memindahkan wang sebanyak 6,996 yuan (RM4,095) daripada akaun WeChat mangsa ke akaunnya, katanya.
Pada ketika itu, seorang individu lain datang menghampiri dan memberitahu mereka bahawa kereta tidak boleh diletakkan di kawasan tersebut. Lelaki warga China itu berada di tempat duduk pemandu dan cuba memecut untuk melarikan diri, namun sebaliknya merempuh pagar. Lelaki itu kemudian keluar dari kereta dan melarikan diri, menurut mangsa.
Siasatan polis masih diteruskan.


