SEMUA petugas yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 perlu dipertimbangkan diberi insentif khas sebanyak RM500 seorang, kata Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Sambil memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mempertimbangkan cadangan itu, Ikmal Hisham berkata, walaupun jumlah RM500.00 ini adalah kecil dalam situasi ekonomi pada hari ini, tetapi pemberian saguhati dan penghargaan kepada semua petugas ASEAN yang terlibat adalah wajar dan adil.
‘’Saya dimaklumkan ada dalam kalangan cikgu sekolah yang bangun seawal jam tiga pagi untuk menyelaras sesi rehearsal kanak-kanak sekolah yang terlibat menjayakan persembahan di dalam sidang ASEAN kali ini.
‘’Sekiranya Kerajaan bersetuju terhadap cadangan ini, ia akan memberikan sedikit motivasi dan kegembiraan kepada segenap lapisan perkhidmatan Kerajaan yang bukan hanya terhad kepada cikgu, tetapi juga anggota tentera, Polis, petugas kesihatan, pemandu, pembantu pejabat.
‘’Sudah tentu sebahagian besar daripada warga Wisma Putra termasuk pegawai kontrak Kerajaan daripada Kementerian-kementerian lain yang telah digembling dan kini sedang bertungkus-lumus memastikan kejayaan acara sekaligus menjaga nama baik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ke-47,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ikmal Hisham berkata, ada pegawai dan kakitangan yang bertugas sebagai selaku sekretariat utama ASEAN sudah hampir dua minggu tidak bertemu ahli keluarga dan terpaksa berkampung di hotel sekitar KLCC sebagai komitmen jitu mereka menjaga nama baik negara menjayakan acara ini.
‘’ Saya telah congak dan kira, sekiranya jumlah petugas adalah seramai 5,000 orang, maka Kerajaan hanya perlu membelanjakan sebanyak RM2.5juta sahaja bagi pelaksanaan cadangan pemberian insentif khas yang dicadangkan ini. Saya mohon Yang Amat Berhormat Tambun(Anwar) dan juga KSN ataupun Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) untuk mempertimbangkan cadangan ini,’’ katanya.
Beliau berkata, petugas-petugas sidang ASEAN ini sudah mula bertugas seawal dua minggu yang lalu termasuk urusan pentadbiran diri, sesi raptai ataupun rehearsal persembahan utama selain daripada pembahagian tugas dan juga peranan-peranan berkaitan.
‘’ Anggota tentera sebagai contoh, juga telah mula berkampung di kem-kem transit seluruh Kuala Lumpur yang kebanyakan mereka ini bertugas sebagai pemandu kepada delegasi luar negara termasuk membantu pihak Polis memberikan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam. Semua pihak akan memainkan peranan penting sama ada tugas tersebut kecil mahupun besar,’’ katanya.


