MISTERI mengenai asal usul pemain naturalisasi, Imanol Javier Machuca, akhirnya terjawab selepas laporan media Argentina mendedahkan bahawa pemain tersebut tiada langsung pertalian darah dengan Malaysia.
Menurut laporan portal Capital de Noticias dari Argentina, dokumen rasmi daripada Pendaftar Sivil Wilayah Santa Fe menunjukkan nenek Machuca, Concepción Águeda, sebenarnya dilahirkan di Roldán, Santa Fe, Argentina pada 16 Ogos 1954.
Rekod sama turut menyenaraikan ibu bapanya, Celestino Alaniz dan Nélida Agustina Ordóñez, sebagai warganegara Argentina, sekali gus menafikan dakwaan bahawa keluarganya berasal dari Malaysia, lapor seaasiagoal.
Penemuan itu sekaligus menolak tuntutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Machuca layak mewakili Malaysia melalui salasilah neneknya yang didakwa lahir di Pulau Pinang.
Terdahulu, FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan selama setahun terhadap Machuca selepas siasatan mendapati wujud pemalsuan dokumen berkaitan status kewarganegaraannya.
FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan pemalsuan atau penggunaan dokumen palsu.
Laporan itu menambah tekanan terhadap FAM yang kini sedang merayu keputusan FIFA, selepas beberapa pemain lain termasuk Facundo Garcés turut terlibat dalam skandal sama.
Dengan bukti baharu daripada pihak berkuasa Argentina ini, kedudukan Machuca dalam kempen naturalisasi Malaysia semakin goyah, dan peluang FAM untuk membersihkan nama dijangka berdepan laluan sukar.


