SEORANG penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang hari ini atas pertuduhan menikam seorang pekebun sehingga mengalami kecederaan parah, minggu lalu.
Tertuduh, Jabalul Akhir Mat Shafie, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Bagaimanapun, tiada hukuman direkod pada prosiding tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Jabalul mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas pekebun berusia 38 tahun menggunakan senjata dengan menikam bahagian perut.
Perbuatan tersebut dilakukan di Kampung Sri Damai, Batu 7, Jalan Gambang, jam 6.40 petang pada 31 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebat, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azizah Ahmad memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi menjatuhkan hukuman dan mengemukakan fakta kes lanjut.
Beliau juga tidak menawarkan sebarang jaminan atas suspek keselamatan kerana kediaman tertuduh berdekatan dengan mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi fakta kes dan jatuh hukum.
Sebelum ini, media melaporkan dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki ditikam kenalannya di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang.
Mangsa cedera di perut selepas ditikam menggunakan pisau sepanjang kira-kira lima inci di hadapan rumahnya kira-kira jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek memanggil mangsa keluar sebelum berlaku pertengkaran kerana suspek mahu mangsa mengikutnya, namun mangsa enggan.


