JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 13 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Pemeriksaan dan Penguatkuasaan Khas di tapak Bazar Ramadan Seksyen 13, Laman Niaga Komuniti, Bandar Baru Bangi, semalam.
Operasi bermula kira-kira jam 3.55 petang itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sepanjang Ramadan, khususnya di kawasan tumpuan awam seperti bazar Ramadan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 720 individu diperiksa membabitkan 693 warga tempatan, 25 warga Indonesia serta dua warga Bangladesh di 143 tapak gerai bazar berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, JIM menahan enam lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM menegaskan bahawa sepanjang bulan Ramadan ini, tindakan inspektorat dan pemeriksaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di mana-mana Bazar Ramadan seluruh negara,” ujarnya.


