SEORANG pegawai kanan tentera Iran memberi amaran bahawa sebarang serangan darat ke atas tanah negara itu adalah garis merah dan Tehran bersedia memberikan kejutan besar kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekiranya Washington berani melakukan tindakan tersebut.
Dalam kenyataan kepada Tasnim News Agency, sumber tentera itu berkata, “Sudah tentu, serangan darat ke atas Iran adalah salah satu garis merah kami, dan seperti mana-mana operasi musuh sebelum ini, kami akan menunjukkan kejutan sekali lagi dalam kes ini.”
Sumber itu berkata, serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran sebelum ini telah memberi kesan kepada semua infrastruktur tenaga di rantau ini.
‘’Kali ini Tehran bersiap sedia supaya sekiranya Trump membuat kesilapan, ia akan berdepan dengan tindak balas yang begitu dahsyat sehingga tentera AS mungkin tidak dapat membawa keluar keranda tenteranya dari tanah Iran,’’ kata sumber itu.
Selain itu, pegawai berkenaan turut memberi amaran bahawa kemusnahan pulau-pulau Iran akan membawa kepada kemusnahan kawasan pesisir Emiriah Arab Bersatu, termasuk Dubai dan Abu Dhabi, yang mungkin tidak terlepas daripada serangan pada peringkat awal.


