JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan, kemalangan di Kampung Rahmat Bukit Bunga, Tanah Merah, semalam yang mengakibatkan seorang lelaki maut berpunca daripada kenderaan jabatan tersebut.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial berhubung kemalangan itu.
“Dakwaan menyatakan bahawa kemalangan berkenaan berpunca daripada JPJ mengejar lori menyebabkan kemalangan seperti mana yang ditularkan di dalam video berdurasi 34 saat adalah tidak benar dan tidak berasas.
“Kenderaan jabatan pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026, dan anggota terlibat mematuhi prosedur operasi serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
“JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang siasatan lanjut adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam media melaporkan, anak kepada editor kanan Astro Awani meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan.
Kejadian jam 4.30 petang itu membabitkan Perodua Myvi yang dipandu mangsa, Mursyid Azmi, 25, dan sebuah Toyota Fortuner milik JPJ.
Mohd Misuari berkata, JPJ bersimpati terhadap mangsa dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.
“Semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kepada mangsa yang mengalami kecederaan pihak JPJ mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan dengan segera.
“JPJ kekal komited dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.


