*JHEAINS terima permohonan polis untuk semakan status agama dua beradik berkenaan susulan nama di dokumen peribadi nama orang Cina*
JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan membantu menguruskan jenazah dua beradik yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke Sungai Linggi, Tanjung Agas Port Dickson dalam kejadian pada Khamis lalu .
Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak polis untuk semakan status agama dua beradik berkenaan susulan nama yang tertera di dokumen peribadi mereka adalah nama orang Cina.
“Kita dah buat semakan berkenaan status agama dua beradik itu selepas bapanya memaklumkan anaknya itu telah diislamkan di Kelantan.
“Namun semakan dengan Jabatan Agama Islam Kelantan mendapati, tiada rekod yang dua beradik itu telah diislamkan, begitu juga rekod di JHEAINS,” katanya lapor Sinar Harian.
Menurutnya, pihaknya kini bergantung kepada pengakuan bapa dua beradik terbabit berkenaan pengislaman mereka dan meminta lelaki itu membuat pengakuan secara bertulis kepada pihak polis.
Katanya, selepas JHEAINS mendapat pengesahan daripada pihak polis berhubung perkara itu, jenazah dua beradik berkenaan akan segera diuruskan.
“Buat masa ini kita bergantung kepada pengakuan daripada suspek serta ibu kandung dua beradik berkenaan yang dipercayai berbangsa lain dan turut meminta kedua-duanya membuat laporan polis.
“Apabila adanya laporan itu, kita akan gunakan dokumen itu sebagai kebenaran menguruskan jenazah kanak-kanak terbabit,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tiada ahli keluarga atau waris yang hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson ketika proses bedah siasat mangsa.


