JASAD seorang bapa yang menyelamatkan anaknya berusia 10 tahun daripada lemas ditemukan anggota bomba kira-kira jam 12.27 tengah hari tadi.
Mangsa, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, ditemukan pada jarak tiga meter dari lokasi terakhir dia dikhuatiri tenggelam selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Relai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1, semalam.
Jasad pekerja ladang itu ditemui selepas hampir 20 jam hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Kanan Nor Azizi Che Noh berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu dilakukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Operasi tamat pada jam 2.05 petang dan disertai seramai lapan anggota.
“Jenazah mãngsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Media semalam melaporkan seorang bapa dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya yang dihanyutkan arus deras Sungai Relai di RKT Kesedar Lebir 1.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Fakarudin dikatakan tenggelam selepas berjaya menyelamatkan anaknya sebelum dihanyutkan arus deras sungai.


