SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membuka bilik gerakan bagi orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Menurut kenyataan SPRM, bilik gerakan ini yang beroperasi 24 jam mulai 10 hingga 25 Januari ditempatkan di SPRM cawangan Sandakan di Tingkat 7, Bangunan Persekutuan, Kilometer 11, Jalan Labuk, Sandakan.
“SPRM juga mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.
“Kesalahan itu selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” kata kenyataan itu hari ini.
Selain itu, orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada prnsabah@sprm.gov.my atau menghubungi talian 089-66 8746 dan 011-1866 9877.
Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 10 Januari dan hari pengundian pada 24 Januari, manakala undi awal pada 20 Januari ini.


