Jemaah Menteri putus tarik balik RUU PSB – Fahmi

JEMAAH Menteri hari ini memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi tujuan penambahbaikan sebelum dibentangkan semula kelak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan mengenai RUU tersebut, anggota Jemaah Menteri, serta ‘rakan-rakan UMNO’.

“Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa RUU PSB ini akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti dibentangkan, dibincang dan diputuskan pada satu tempoh yang akan dimaklumkan (sebelum) dibentangkan semula dalam bentuk yang baharu di Parlimen,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

RUU ini bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama dan usang bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta memastikan pembangunan bandar yang mampan.

Ia menggariskan tiga jenis projek, iaitu pembangunan semula yang membabitkan kerja meroboh dan membina semula projek perumahan; pemulihan yang melibatkan pembaikan atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai; serta revitalisasi berkaitan naik taraf atau tambah baik sesuatu kawasan tanpa sebarang perobohan.

Bagaimanapun, bantahan daripada pihak pembangkang dan sebahagian wakil blok kerajaan, termasuk Barisan Nasional dan tujuh Ahli Parlimen PKR, menghalang RUU tersebut daripada diluluskan pada sidang Dewan Rakyat Ogos lalu.

Pada November lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan bila RUU tersebut akan dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img