SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X sudah ditarik balik, berkuat kuasa hari ini.
Penarikan sekatan tersebut menurut suruhanjaya itu, susulan pengesahan pelaksanaan langkah pencegahan dan keselamatan tambahan yang diberikan pihak platform berkenaan.

MCMC memaklumkan, satu mesyuarat diadakan kelmarin antara Kementerian Komunikasi, pihaknya dan wakil platform X berhubung aplikasi Grok.
“Mesyuarat berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen pihak platform X berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang Malaysia dan pihak X mengesahkan langkah keselamatan yang diperlukan sudah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok.
“Selepas mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal dikemukakan, MCMC sudah menarik balik sekatan akses sementara yang dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu berkata, keselamatan pengguna tetap kekal sebagai keutamaan pihaknya.
Kata kenyataan itu lagi, sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


