JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menggesa orang ramai menyalurkan maklumat awal sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan warga asing bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan imigresen.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memaklumkan perkara itu susulan penularan video berkaitan dakwaan kebanjiran warga asing di kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
“Maklumat awal yang tepat dan berterusan amat penting bagi membolehkan pihak jabatan menjalankan risikan secara menyeluruh serta merancang tindakan penguatkuasaan yang lebih tersusun dan berimpak.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu memastikan setiap operasi dilaksanakan secara terancang, malah turut meningkatkan keberkesanan serbuan dengan hasil yang lebih optimum, tepat sasaran dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.
JIM turut menegaskan bahawa kerjasama masyarakat sebagai rakan strategik memainkan peranan penting dalam memperkukuh usaha penguatkuasaan imigresen negara.
Katanya, maklumat yang disalurkan secara terus kepada jabatan dapat mempercepatkan proses pengesahan, mengurangkan risiko kebocoran maklumat selain memastikan tindakan dapat diambil dengan segera.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui talian aduan PATI, e-mel rasmi atau portal SISPAA, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, JIM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pematuhan undang-undang imigresen demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.


