DUA remaja maut manakala seorang parah selepas Perodua Ativa yang mereka naiki terbabas dan merempuh tembok konkrit di susur Kilometer 14, Lebuhraya Iskandar Sultan di Johor Bahru awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.25 pagi.
Menurut beliau, kereta berkenaan dipandu mangsa lelaki berusia 19 tahun dan penumpang hadapan adalah remaja perempuan berusia 16 tahun yang maut manakala lelaki berusia 18 tahun di bahagian belakang cedera parah.
“Kenderaan terbabit ketika itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Tampoi sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok konkrit di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Sementara itu, penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan parah pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Radin Ramlan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-743 2966 bagi membantu siasatan.


