POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu 13 premis judi yang berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan Pusat Hiburan Interaktif (PHI) di Selangor dan Sabah sejak kelmarin.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melalui Op Dadu Khas selama dua hari dengan kerjasama dengan JSJ Polis Kontinjen Selangor dan Sabah.
Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) itu juga, lapan premis perjudian diserbu di sekitar Seri Kembangan dan Klang di Selangor, manakala lima lagi di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah.
Pengarah JSJ Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semua premis ini dikesan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mempamer dan mengiklankan premis dengan lesen berbentuk aktiviti PHK yang lazimnya menawarkan khidmat permainan simulator untuk kanak-kanak.
Beliau berkata, sepatutnya ada permainan boling atau permainan kanak-kanak lain, sebaliknya aktiviti dalam premis ini adalah peralatan komputer yang menganjurkan aktiviti perjudian.
“Dalam operasi ini 52 penjaga premis dan pemain judi terdiri rakyat tempatan dan warga asing ditahan dalam serbuan di Selangor, manakala 11 lagi ditahan di Sabah.
“Semua yang ditahan dalam operasi di kedua-dua negeri ini berusia antara 20 hingga 75 tahun. Polis turut merampas tablet, peralatan komputer, mesin perjudian serta wang tunai dalam kesemua serbuan yang dibuat,” katanya kepada media hari ini.
Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, operasi akan diteruskan tanpa henti dan amaran keras diberikan kepada penganjur serta sindiket yang menawarkan aktiviti judi seperti ini untuk tidak cuba ‘menghidupkan’ kembali aktiviti perjudian di negara ini.
“Saya telah beri arahan kepada semua Ketua JSJ di setiap kontinjen seluruh negara, untuk memantau dan memastikan sebarang aktiviti perjudian dibanteras secara habis-habisan,” katanya.
Beliau berkata, JSJ turut tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket perjudian pada masa ini sedang cuba menjalankan semula aktiviti premis perjudian.
“Apa yang saya lihat trend pada masa ini adalah sindiket cuba beralih kepada aktiviti permainan mesin perjudian berbentuk besar seperti simulator dan komputer riba, sama besar seperti skrin televisyen bersaiz 36 inci.
“Saya ingin beri peringatan bahawa dalam elemen perjudian ini, pemain pastinya akan memgalami kerugian selepas membuat pertaruhan sehingga ribuan dan jutaan ringgit,” katanya.


