JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan taktik sindiket penyeludupan dadah yang meninggalkan barang terlarang itu di pulau yang tidak berpenghuni selain menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran.
Jabatan itu turut mengesan taktik sindiket penyeludupan dadah menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran bungkusan.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya turut mengesan kegiatan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan.
“Sindiket penyeludupan turut menggunakan ‘keldai dadah’ atau individu tertentu untuk menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan.
“Pelbagai taktik yang digunakan itu mampu dikesan JKDM apabila dalam tempoh 10 bulan tahun ini sahaja, jabatan ini merekodkan sejumlah 594 kes dadah dengan rampasan mencecah RM459.3 juta,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurut Anis, terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah.
“Penyeludupan menggunakan kontena-kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran juga dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi lain adalah sindiket yang menggunakan kaedah drop point iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil oleh individu lain sebelum diedarkan.
Jelasnya, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) iaitu antara pasukan khas JKDM yang terlibat dalam operasi menumpaskan sindiket dadah.
Tambah Anis, langkah tegas diambil JKDM dalam usaha memastikan dadah dapat diseludup masuk adalah operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia yang berlangsung dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak dengan nilai rampasan sebanyak RM39.22 juta.
“Kita juga melaksanakan rutin pemeriksaan di pintu keluar masuk negara oleh pegawai yang bertugas di kawasan sempadan.
“Kawalan kawasan perairan negara juga dilaksanakan secara berkala dengan memfokuskan kawasan hotspot selain rondaan rutin oleh Unit Marin JKDM,” ujarnya.
Kata beliau, penggunaan Anjing Pengesan Dadah (APD) JKDM turut ditambah baik menerusi penambahan aset berkenaan dan juga latihan berterusan, selain intelligence driven ditingkatkan yang mana pegawai-pegawai risikan digerakkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan penyeludupan.
Tegasnya, JKDM terus memperkukuh peranan sebagai agensi barisan hadapan dalam mempertahankan keselamatan negara khususnya dalam memerangi kegiatan penyeludupan dadah.
“Ini sekali gus mencerminkan keupayaan operasi yang teguh, kepakaran anggota serta keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan,” ujarnya.


