JPJ pertahan tindakan sita kereta mewah pempengaruh

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) bertegas tindakan menyita sebuah kereta mewah milik seorang pempengaruh baru-baru ini adalah kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan iaitu tiada perlindungan insurans selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan diambil JPJ itu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana dua kesalahan itu boleh memberi risiko kepada pengguna kenderaan lain.

Beliau berkata, tindakan segera lebih wajar diambil pihaknya berbanding membiarkan kenderaan yang gagal mematuhi peraturan seperti itu terus berada di jalan raya.

“Dia bawa kereta LKM tamat tempoh, tak ada insurans kalau berlaku apa-apa, anak dia, keluarga dia, insurans tak akan lindungi. Kalau berlaku pada orang lain pula macam mana?

“Ketiadaan perlindungan insurans adalah kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan nyawa manusia,” katanya dalam sidang akhbar Ops Luxury 4.0, di Depot Sitaan JPJ Kuala Lumpur, di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial rakaman video memaparkan seorang pempengaruh meluahkan keluhan selepas kenderaannya disita JPJ walaupun sudah memohon simpati dan budi bicara daripada pihak berkuasa.

Aedy Fadly dalam pada itu menegaskan, JPJ tidak boleh berkompromi dalam isu keselamatan.

Tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai JPJ adalah mengikut prosedur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan, katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, JPJ masih memberi kelonggaran bagi kesalahan kecil.

“Kalau setakat kesalahan biasa seperti nombor pendaftaran ‘fancy‘ atau aksesori, kita boleh lepaskan.

“Tetapi apabila ia melibatkan insurans, itu isu besar kerana ia akan melibatkan orang lain jika berlaku kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, sebuah Lamborghini Huracan bernilai lebih RM4 juta adalah antara 78 buah kenderaan mewah yang disita dalam Ops Luxury 4.0 di seluruh negara sejak Jumaat lepas sehingga semalam, kerana tidak mempunyai perlindungan insurans dan LKM tamat tempoh.

“Sejak Ops Luxury dijalankan pada 1 Julai lepas, sebanyak 706 kenderaan mewah disita dan semuanya disimpan di depoh sitaan JPJ di seluruh negara mengikut Seksyen 64 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan berkaitan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img